10.14.2008

CERPEN: harapan

Maryam memandang sayu kuburan di hadapannya. Dia menyentuh perlahan tulisan jawi di batu nisan itu. Tertulis nama orang yang amat dikenalinya.
Maryam cuba menahan sebak yang mula bermukim di dadanya. Serentak itu, kenangan lalu kembali terlayar di fikirannya.

"Apa yang awak tengokkan tu?" tanya seseorang menepuk belakang Maryam. Maryam berpaling ke belakang. Selepas itu dia tersenyum.
"Hmm, Anis. Saya tengok budak baru tu," kata Maryam sambil memalingkan wajahnya kembali. Memandang seorang gadis yang sedang duduk di bawah pokok sambil membaca buku. Buku apa? Entah, novel barangkali. Tengah berjiwang kot. Hehehe.
"Cantik jugak budak tu. Nama dia Salina, kan? Awak perasan tak? Si Shahril tu asyik pandang dia macam nak telan je," kata Anis sambil tersengeh. Maryam tersenyum.
"Tu tak heran. Dia kan cantik. Lemah lembut pulak tu," jawab Maryam. Pandangannya sudah beralih ke arah Anis. Anis mencebik.
"Huh, saya peliklah ngan awak ni. Camne awak boleh puji dia lagi? Kan awak minat kat Shahril?" tanya Anis dengan muka bosan. Maryam ketawa perlahan. Menampakkan lesung pipitnya di pipi.
"Saya tak minat kat Shahril la. Saya tak minat kat sesiapa pun. Saya nak belajar dulu," jawab Maryam selepas ketawanya terhenti. Mulut Anis memuncung.
"Yalah, awak dah bagitau saya hampir seribu kali. Awak ni, memang sesuai la ngan gelaran perempuan melayu terakhir la. Lemah lembut, manis, alim dan baik," puji Anis. Maryam mengebilkan kelopak matanya beberapa kali.
"Lagi?" tanya Maryam. Gayanya masih lagi seperti control cute! Anis geram. Dengan selamba dia mencuit hidung mancung Maryam. Maryam menjerit kecil.
"Dah tak ada dah. Ingat orang nak puji dia banyak-banyak ke? Piirahhh!" jawab Anis lalu berlalu pergi. Maryam tersenyum. Selepas itu matanya kembali ke arah gadis yang bernama Salina tu. Serentak itu senyuman manis di bibirnya bertukar kepada senyuman sinis. Api dendam mula menyala di hatinya.

"Hai, nama saya Maryam" kata Maryam sambil menghulurkan tangannya. Gadis di hadapannya mendongak memandangnya. Selepas itu, huluran tangan Maryam disambut.
"Saya Salina. Dudukla," pelawa Salina. Maryam tersenyum. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah Salina.
"Awak budak baru,kan? Dari mana?" tanya Maryam ramah. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.
"Saya dari Johor. Saya dan keluarga baru pindah ke sini. Baru minggu lepas," jawab Salina sambil membalas senyuman Maryam.
"Oh, selamat datang ke sekolah ni. Saya pasti, awak akan sukakan sekolah ini sebagaimana kami semua sukakan sekolah ini. Oh ya, kenapa awak pindah sini?" tanya Maryam kehairanan. Salina berpaling ke hadapan. Memandang padang yang luas terbentang. Sedikit keluhan terluah di bibirnya.
"Papa saya, dia mahu pulang ke sini. Di sini kampungnya, tempat lahirnya. Tak kira betapa jauh dia merantau, dia tetap akan balik ke sini jua. Umpama bangau. Tak kira betapa tinggi dia terbang, dia akan kembali ke belakang kerbau jua," kata Salina lalu memandang wajah Maryam lalu tersenyum. Tapi Maryam merasakan sesuatu, senyuman itu hambar.
"Kenapa awak cam sedih je? Awak tak suka ke pindah ke sini?" tanya Maryam tanpa berselindung. Salina kelihatan terkejut dengan soalan itu. Mulutnya terkunci seketika, mungkin memikirkan jawapannya atau mungkin sedang menyusun ayatnya.
"Hm, saya berat hati juga tinggalkan kawan-kawan lama saya. Saya rindukan mereka," Salina menundukkan wajahnya. Maryam berpaling ke arah lain. Tahu Salina tidak mahu dia melihat air matanya jatuh ke pipi.
"Jangan risau. Awak bukannya tidak dapat jumpa mereka untuk selamanya. Di sini, awak akan dapat kawan baru. Mungkin, lebih baik dari mereka," kata Maryam memandang wajah Salina yang sudah mengangkat wajahnya. '…mungkin lebih teruk dari mereka' Maryam bermonolog dalaman sambil hatinya tersenyum sinis.
"Saya harap pun begitu. Awak akan jadi kawan saya, kan?" pinta Salina sambil mengelap air mata di bibir matanya dengan jari runcingnya. Maryam ketawa.
"Kita kan dah jadi kawan…"

Maryam mengelap air matanya dengan kasar. Dia membaling bantal ke bawah katil. Benci dengan air mata yang meneruni deras dari matanya. Dia sudah berjanji, dia tidak akan menangis lagi tapi kenapa air mata ini begitu lebat mengalir? Maryam menyembamkan wajahnya ke bantal. Berusaha untuk melenyapkan gambaran di mindanya. Gambaran yang menunjukkan Salina yang sedang berbual mesra dengan ibu bapanya. Hatinya sakit melihat itu. Dia benci!
"Argh!" Maryam mencampakkan satu lagi bantalnya. Kali ini tepat terkena dinding.
"Aku benci kau! Aku benci korang semua!" jerit Maryam. Dia menggigil menahan marah dan geram.
"Jangan karap kau akan bahagia setelah apa yang kau dah buat pada aku. Aku takkan maafkan kau sampai bila-bila. Aku benci kau! Aku benci kau! Aku benci kau…" kata Maryam lemah akhirnya terbaling. Air mata semakin lebat menuruni pipinya.

"Korang nak tak ikut kitaorang shopping hujung minggu ni? Lepas shopping, kita main bowling," tanya Anis apabila dia duduk di hadapan Maryam dan Salina. Maryam terdiam. Dia memandang Salina yang juga sedang memandangnya. Maryam mengangkat bahu.
"Alah, ikutlah kitaorang. Salina awak patut cuba biasakan diri dengan tempat ni. Maryam pulak, awak tak pernah terima ajakan kitaorang. Kali ni awak terimalah. Temankan Salina. Dia paling rapat dengan awak," pujuk Anis. Maryam dan Salina diam. Masih menimbangkan perlawaan Anis.
"Tak payah fikir-fikir lagi. Ikut jelah kitaorang. Lagipun mall tu bukannnya jauh sangat," datang pula seorang gadis menyampuk perbualan.
"Saya akan ikut kalau Maryam ikut tapi saya kena tanya papa saya dulu," akhirnya Salina bersuara. Anis sedikit berpuas hati. Kemudian tiga pasang mata di situ tepat menuju ke arah Maryam. Maryam tahu mereka semua mengharapkan persetujuannya.
"Saya akan fikirkan….hm..saya akan tanya mak saya dulu," Maryam segera merubah jawapannya apabila melihat renungan tajam Anis. Anis akhirnya tersenyum.
"Bagus dan saya harap jawapannya ya," kata Anis lalu menarik tangan kawannya pergi dari situ. Maryam dan Salina saling berpandangan.

Maryam memandang banglo di hadapannya dengan perasaan yang berbaur. Dia pun tidak mengerti perasaanya sendiri. Semuanya bercampur aduk antara benci, geram, sakit hati, takut, gementar, dan gembira. Maryam menapak lebih dekat ke arah banglo itu. Sedikit kagum dengan banglo yang jauh lebih besar dari rumahnya. Landskap di sekeliling banglo itu menyejukkan hati sesiapa yang memandang.
"Maryam!" satu suara menjerit namanya. Maryam berpaling. Salina sedang melambai tangan ke arahnya di pagar. Maryam segera berjalan menuju ke arah Salina.
"Lambat awak sampai. Saya ingat awak tak jumpa rumah saya," kata Salina. Maryam tersenyum. Mereka berjalan memasuki banglo itu. Maryam kagum dengan hiasan dalalam rumah itu. Mewah. Dalam hati dia cemburu dengan Salina.
"Cantik rumah awak. Wow! Cantiknya bilik awak!" kata Maryam sambil memandang liar ruang kamar yang berganda lebih besar dari kamarnya. Tema warnanya ialah biru laut. Cukup memberi kesan tenang dan damai kepada sesiapa yang berada di dalam bilik ini. Bilik yang lengkap dengan tv dan komputer. Juga set sofa dan satu almari penuh dengan buku pelbagai jenis. Kamar seperti inilah yang sering diimpikan oleh Maryam sejak kecil. Dan sekarang dia berpeluang untuk berada di dalamnya.
"Susah tak awak cari rumah saya?" tanya Salina sambil menolak Maryam duduk di atas katilnya yang empuk. Dia kemudiannya duduk di sebelah Maryam.
"Tak susah pun. Hm, cantik rumah dan bilik awak. Bertuah betul awak," puji Maryam sambil tersenyum. Salina juga turut tersenyum. Salina suka melihat senyuman di wajah Maryam. Senyuman yang sangat manis ditambah dengan lesung pipit yang terbentuk apabila Maryam senyum dan ketawa. Dia juga suka memandang mata hazel milik Maryam. Mata itu, cantik namus seperti sedang menyembunyikan derita dalam kilauannya.
"Jom, saya kenalkan awak dengan mama dan papa saya," ucap Salina lalu dengan pantas menarik tangan Maryam mengikuti langkahnya. Maryam langsung tidak sempat berkata apa-apa. Dalam sekelip mata dia sudah berhadapan mama dan papanya Salina. Di wajah mereka tercalit senyuman. Papa Salina masih kelihatan muda dan segak manakala mama Salina masih cantik.
"Pa, ma. Kenalkan ini Maryam, kawan baik Lina," Salina memperkenalkan diri Maryam kepada ibu dan bapanya. Maryam resah. Perasaanya bercampur-aduk berhadapan dengan dua orang manusia itu. Segera dia jauhkan perasaan itu lalu tersenyum manis.
"Assalamuaikum mak cik, pak cik. Saya Maryam," kata Maryam lalu bersalaman dengan ibunya Salina. Dia dapat melihat perubahan di wajah ibu Salina, Hayati dan di wajah bapa Salina, Razman apabila melihat dia tersenyum. 'Kenapa? Adakah mereka mengecamnya?' hati Maryam tertanya.
"Jom, kita makan kek. Mak cik dah siapkan kek coklat untuk kamu," kata Mak Cik Hayati ramah. Perubahan di wajahnya beransur-ansur hilang.
"Jom, kek yang mama saya buat paling sedap. Awak patut cuba tau," Salina memuji mamanya. Mak Cik Hayati tersenyum mendengar pujian tu.
"Yelah tu. saja nak sedapkan hati mama je, kan?" balas Mak Cik Hayati.
"Papa, tengoklah mama ni. Lina puji mama, mama tak nak percaya. Nanti kalau Lina kutuk, mama marah plak," Salina memuncungkan mulutnya. Pak Cik Razman menarik hidung Salina. Salina terjerit kecil.
"Muncung tu, dah panjang sedepa. Tak cute langsung. Malu sikit kat Maryam ni. Besar-besar pun nak merajuk lagi," balas Pak Cik Razman. Mulut Salina semakin memuncung tetapi tidak lama. Dia kemudian meletuskan tawa. Mereka bertiga meletuskan tawa.
Maryam hanya memerhati kemesraan mereka. Sekekali bibirnya menguntum senyum tetapi dalam hatinya tiada siapa yang tahu. Dia sedang berperang dengan perasaan cemburu, marah, geram dan benci dalam hatinya. Marahnya terlalu memuncak sehingga dia merasakan seperti ingin menangis. Dia benci melihat kebahagian mereka. Mengapa mereka bahagia tetapi dia menderita? Ini tidak adil! Ini betul-betul tidak adil..

Salina menarik tangan Maryam menuju ke dalam sebuah kedai buku yang besar meninggalkan Anis dan beberapa kawannya di belakang. Tangannya sibuk dengan beberapa buah buku yang sedang dibaca sinopsisnya. Salina memang ulat buku, seperti dia juga. Kalau tidak, masakan satu almari dalam bilik Salina penuh dengan novel dan buku. Salina menghulurkan sebuah novel kepada Maryam dan Maryam menyambutnya.
"Best gak novel ni. Ceritanya menarik," kata Maryam selepas selesai membaca sinopsis di kulit belakang novel itu. Salina tersenyum mendengarnya. Dia mencapai beberapa jenis novel dalam bahasa inggeris dan bergerak ke kaunter. Maryam turut bergerak ke kaunter dengan buku pilihannya. Sewaktu ingin membuat pembayaran, Salina menarik buku pilihan Maryam dan tolong membayarnya. Maryam terpaku.
"Tak payah. Papa saya dah bagi saya duit untuk belanja awak. Dia cakap, sebagai ucapan terima kasih sebab temankan saya yang nakal ni. Awak tahu, papa dan mama saya suka sangat kat awak. Dia layan awak paling baik di antara kawan-kawan saya yang lain," kata Salina apabila Maryam menghulurkan wang kepadanya untuk membayar harga buku itu. Maryam terdiam. Dia tidak senang menerima pemberian orang. Itu mengingatkan dia pada waktu dulu dia mengharapkan pemberian sesiapa yang mengasihani. Ia tidak mahu mengingati waktu dulu. Terlalu perit!

"Salina, Maryam?" satu suara menganggu perbualan Maryam dan Salina. Mereka mamandang jejaka yang menyebut nama mereka. Shahril?!
"Apa yang awak berdua buat kat sini?" tanya Shahril. Dia seperti terkejut melihat kehadiran mereka mall ini. Maryam ketawa dalam hati. 'Buat apa datang ke mall kalau tidak membeli-belah?'. Maryam mengangkat beg plastik di tangannya. Mengharap Shahril mengerti. Shahril tersenyum malu. Mungkin menyedari betapa bodoh soalannya.
"Shahril? Kebetulan kita jumpa kat sini. Joinlah kitaorang. Kitaorang nak pergi main bowling ni," pelawa Anis. Shahril tersenyum. Senyuman itu menjadikan wajahnya yang sudah sedia kacak menjadi lebih kacak. Lebih-lebih lagi Shahril mengenakan pakaian yang cukup ranggi. Salina dan Maryam sedikit terpana. Pipi mereka mula berubah warna.
"Idea yang bagus. Itupun kalau awak semua tak kisah saya ajak kawan saya sekali," ucap Shahril.
"Tak kisah. Makin ramai makin meriah," kata Anis. Shahril menguntumkan senyuman. Matanya tidak lepas memandang Salina yang ayu bertudung. Hatinya berdegup kencang. Inikah cinta?

Maryam memandang Shahril dan Salina yang rancak berbual. Kadang-kadang mereka tersenyum dan kadang-kala ketawa. Shahril juga mengajar cara bermain bowling dengan betul kepada Salina. Hatinya sakit melihat betapa mesra dan dekatnya Salina dan Shahril ketika itu. Tapi kenapa? Cemburukah dia? Itu tidak mungkin! Hm, tiada guna menafikan dia sudah berperasaan kepada Shahril sedangkan dia betul-betul menyukai Shahril sejak di tingkatan satu lagi. Dia bijak menyembunyikan perasaannya dari pengetahuan kawan-kawannya. Hanya Anis yang bijak meneka tetapi itu pun berjaya ditipu olehnya. Belajar dulu, konon!
Maryam membetulkan tudungnya yang sedikit senget. Dia rimas memakai tudung. Dia rimas berlakon. Dia bukannya seperti perempuan melayu terakhir seperti yang difikirkan kawan-kawannya, baik, sopan-santun, bijak dan alim. Itu bukan dirinya yang sebenar. Dia ada dua personaliti. Satu hanya pura-pura dan satu lagi, dirinya yang sebenar. Dirinya yang sebenar sangat berbeza dengan sikap kepuraannya. Dia pendendam. Dia obses ingin membalas dendam. Ini semua salah 'dia'. Sebab dialah dia menjadi begini sekarang. Ini semua salahnya!

Maryam memandang wajah di adalam gambar itu dengan sayu. Sejak Salina datang kerumahnya, hatinya bagai disiat-siat. Salina kini sudah tahu betapa berbezanya mereka sekarang walaupun dia sepatutnya tidak begitu. Maryam kembali memandang gambar tersebut. Betapa dia sayu melihat wajah bahagia di raut wajah wanita di dalam gambar itu bersama dengan jejaka yang disayanginya. Gambar itu menyimpan seribu rahsia. Maknya sekarang, bukan mak kandungnya. Dia hanya anak saudaranya, anak kepada adik bongsunya. Tiada seorang dari kawannnya tahu hakikat itu. Jadi, siapakah ibu kandungnya?
Wanita itu, wanita dalam gambar itu. Wanita yang sedang dalam bahagia sebelum derita menjadi racun dalam hidupnya. Wanita yang banyak terluka. Maryam menyentuh wajah wanita itu dengan jari runcingnya. Ibunya sungguh cantik. Kata mak, dia mewarisi wajah ibunya. Mata hazelnya, lesung pipitnya dan kulitnya yang cerah. Namun dia tahu, dia juga mewarisi derita ibunya walaupun dalam bentuk yang berlainan.
Sejak bayi lagi dia diserahkan kepada rumah anak-anak yatim. Ibunya meninggal sewaktu melahirkannya. Sejak bayi lagi juga dia sudah sedar dia tiada sesiapa di atas dunia ini. Dia hanya mengharapkan belas ehsan dan simpati orang lain untuk terus hidup. Namun semuanya berubah apabila mak mengambilnya dari rumah anak-anak yatim. Mak yang baru pulang ke kampung memeluknya sambil menangis. Dia tidak mengerti apa-apa waktu itu. Dia masih kecil. Dia dan mak tinggal di rumah ibunya sebelum dia meninggal. Rumah itu dibiarkan kosong terlalu lama. Barang-barang di dalamnya langsung tidak terusik. Kata mak, rumah itu banyak kenangannya. Dia tidak mengerti. Dia juga keliru apabila mendengar percakapan maknya dengan mak ngahnya. Apa maksud mereka bapanya masih hidup? Kalau bapanya masih hidup, di mana dia sekarang?
Maryam mencapai sebuah diari lama dari bawah katilnya. Rahsia yang tersimpul kemas terlerai jua apabila dia membaca diari tebal itu. Segala kekeliruan, mula difahaminya sebagaimana dia memahami apa yang ditulis di dalam diari itu. Maryam membelek beberapa helaian kertas di situ. Tulisan di dalamnya, sungguh kemas dan cantik. Segalanya tentang ibunya cukup indah dan cantik kecuali realiti perjalanan hidupnya, penuh dengan derita.
Maryam menitiskan air matanya apabil mengingati apa yang ditulis ibunya. Betapa menderitanya ibunya. Hanya diari ini tempat ibunya meluahkan perasannya. Hanya diari ini yang menemaninya apabila dia keseorangan. Dan hanya melalui diari ini, Maryam mengetahui segalanya. Ibunya bernama Aishah. Sebagai anak bongsu, ibunya disayangi oleh datuk dan neneknya Maryam.
Sebelum datuknya meninggal, datuknya sempat mewasiatkan supaya ibunya berkahwin dengan jejaka pilihannya. Jejaka itu ayahnya. Pada mulanya ibunya enggan namun kerana patuh pada permintaan bapanya, dia menurut jua. Tidak disangka, perkahwinan itu membawa bibit cinta kedalam hatinya. Ditulis di dalam diari ini betapa dalamnya cintanya terhadap suaminya. Dia bahagia bersama suaminya. Namun, disangka panas hingga ke petang, hujan di tengahhari. Ibu difitnah! Difitnah cuba menduakan suaminya. Ibu dihalau tanpa belas kasihan, dibiarkan merempat. Ibu tinggal bersendirian di dalam rumah pusaka peninggalan orang tuanya. Tiada siapa yang menemani. Kesemua adik-beradiknya sudah tiada, berhijrah ke bandar. Suaminya? Sudah merantau bersama dengan bekas kekasihnya dulu yang kini sudah menjadi isterinya.
Dalam keadaan sarat mengandungkannya, ibu terpaksa menerima tohmahan dan cacian masyarakat yang lebih percayakan kata-kata suaminya. Dia dituduh mengandungkan anak haram! Betapa menderitanya ibu. Maryam tahu, apa yang dirasakan ibu. Setiap kali dia membaca coretan dalam diari itu, kesakitan yang dirasakan ibu seperti turut menimpanya. Dia merasakan kesakitan yang sama, kesakitan yang disebabkan oleh ayahnya, Razman. Razman? Ya, Razman a.k.a bapa Salina! Razman yang berada di sebelah ibunya yang sedang tersenyum bahagia sebelum dia membunuh bahagia itu. Razman, Hayati, dan Salinalah punca ibunya menderita, punca ibunya meninggal ketika melahirkannya, dan punca dia merana sebegitu lama!
"Maryam, kamu dah solat?" satu suara mengganggu lamunannya disebalik pintu.
"Dah, mak," jawab Maryam. Selepas itu tiada lagi suara kedengaran. Maryam tersenyum sinis. Dia menipu sebenarnya. Dia tidak solat. Dia hanya solat ketika dihadapan orang ramai. Itulah yang dimaksukkan dengan sikapnya yang berpura-pura. Sikapnya itu disembunyikan dengan tudung, kelakuan lemah lembut dan senyuman manisnya. Kenapa dia menjadi begitu? Hm, kenapa ya?
Maryam tersenyum sinis lagi. Buat apa solat jika dia sudah cukup menderita. Buat apa meminta sedikit bahagia jika dia tidak pernah merasa bahagia. Berbalik dengan Salina, dia memiliki segalanya. Dia memiliki kasih sayang orang tuanya, rumah yang besar, dan dia tidak pernah merasa kesakitan yang ditanggung olehnya. Dunia ini betul-betul tidak adil. Lagipun, dia merasakan segala yang ibadat yang dilakukan orang di dunia ini hanya untuk menutup kesalahan mereka. Mereka semua juga sepertinya, berpura-pura! Razman juga begitu, nampak alim je. Tapi dia sanggup membiarkan ibunya begitu menderita.
Dia bukannnya tidak percayakan adanya tuhan, dia cuma merasa tiada gunanya dia meminta-minta ketika berdoa sedangkan dia tidak akan dapat apa yang diinginkan. Dia ingat lagi, betapa dia mempercayai yang doa akan dimakbulkan asalkan ikhlas dan tulus dihati tapi itu tidak benar. Dia berdoa dengan begitu tulus untuk merasa sedikit bahagia tapi apa yang dia dapat, zero! Sejak itu dia sedar tiada guna lagi bersusah-susah berdoa. Impiannya tak akan termakbul.
Maryam memeluk diari itu seeratnya dan berbaring di atas katil. Dia membayangkan ibu sedang memeluknya walaupun seumur hidup dia tidak pernah merasakannya.

"Maryam, Lina mana?"tanya Shahril. Maryam mengangkat kening dan matanya yang terbentuk cantik. Sedikit terkejut apabila Shahril memanggil Salina dengan nama manjanya.
"Kenapa awak cari dia?" Maryam bertanya kembali. Shahril tersenyum. Dia duduk di hadapan Maryam.
"Hm, saya nak mintak tolong dengan awak. Boleh tak awak bagi ni kepada Lina. Esok kan birthday dia. Saya nak bagi sendiri tapi saya segan. Awak boleh tolong saya, kan? Awak kan kawan baik dia," kata Shahril separuh mengharap sambl menghulurkan beg plastik kepada Salina. Maryam terpaku. Bagaikan ada pisau mencincang lumat hatinya.
"Ikut saya," kata Maryam separuh mengarah. Shahril mengikut walaupun sedikit hairan. Maryam membawa Shahril ke tempat dia selalu bersama dengan Salina, bangku di bawah pokok. Shahril terkejut apabila dia dibawa ke sana. Dia cuba berpatah balik tetapi Maryam lebih cepat bertindak.
"Lina, Shahril ada sesuatu nak bagitau awak. Hm, saya pergi perpustakaan dulu. lepas ni cari saya kat sana ok?" kata Maryam lalu segera berdar. Dia berusaha bersungguh-sungguh agar Salina dan Shahril tidak dapat mendengar getaran di suaranya. Tangan Maryam menggeletar sewaktu mengunci pintu tandas. Tiba-tiba kakinya hilang upaya, dia terjelepok ke lantai. Tanpa disedari, air mata lebat membasahi pipinya. Tapi aneh, kenapa tiada esakan yang keluar dari mulutnya. Adakah kerana dia terlalu terluka? Ya…

Maryam berjalan merentasi koridor. Salina dari tadi asyik berdiam. Maryam hairan juga, tetapi dia tidak bertanya kenapa. Dia sudah tidak berdaya untuk bertanya. Takut lukanya makin parah. Takut dirinya membenci Salina. Salina jahat! Ibunya merampas Razman dan sekarang Salina merampas Shahril dari dia. Bertahun dia memuja Shahril, dan Salina merampasnya begitu sahaja. Biarlah..
"Tadi Shahril ada beritahu saya sesuatu." Salina memulakan bicara. Mariam menundukkan wajahnya. Berharap agar Salina tidak meneruskan kata.
"Hm, dia bagi hadiah dan ucapkan happy birthday. Lepas tu, kitaorang berbual. Waktu itulah dia beritahu saya sesuatu,"sambung Salina. Mariam mengeluh.
"Dia bagitau apa?" tanya Mariam. Dia harus menunjukkan rasa gembira untuk Salina. Dia kan kawan baik Salina. Kawan baik? Ya, dia sudah sayangkan Salina sebagai kawan baik. Lagipun Salina adiknya. Mungkin dulu dia mendekati Salina untuk membalas dendam tapi dia tak sampai hati. Entah kenapa. Walaupun begitu, dia tidak pernah dapat melupakan apa yang dilalui oleh dia dan ibunya disebabkan oleh Salina sekeluarga. Dia tidak akan pernah lupa!
"Sesuatu yang mengejutkan. Saya tak tau nak jawab apa." Jawab Salina. Maryam tunduk memandang lantai. Kakinya pantas menuruni tangga. Seperti juga Salina, mengejar masa untuk sampai ke kelas secepat mungkin.
"Apa yang dia beritahu?"tanya Maryam sekali lagi. Salina mengeluh.
"Dia cakap dia sukakan saya…"serentak itu kaki Maryam berhenti bergerak. Dia sudah menjangka. Mata Maryam memerah.
"Awak tunggu saya sekejap. Saya tertinggal sesuatu kat perpustakaan," kata Maryam lalu mendaki tangga meniggalkan Salina sendirian. Dia menipu sebenarnya. Dia tak mahu Salina perasan tentang raut wajahnya yang sudah berubah. Bila dia sudah tenang, Maryam kembali ke tempat dia meninggalkan Salina.
"Maaf, awak tung…."mata Maryam membulat memandang ke bawah tangga. Salina sudah berbaring di lantai dengan darah di mulut dan hidungnya. Ada darah di setiap anak tangga. Maryam terpaku. Mulutnya bagai terkunci. Dia bagaikan beku.
"Salina!!" satu suara mengejutkan Maryam yang kaku. Shahril meluru ke arah Salina yang tidak bergerak dan memangku kepalanya. Wajahnya kelihatan sungguh cemas melihat darah yang keluar dari mulut dan hidung Salina.
"Kau tolak dia jatuh tangga? Kenapa?!" tuduh Sahahril. Maryam terkejut dengan tuduhan melulu itu.
"Tak, saya tak tolak dia. Tadi saya ke perpustakaan. Saya suruh dia tunggu sini. Bila saya sampai, dia dah jadi camni. Sumpah, bukan saya…" kata Maryam lalu meluru ke arah Salina dan Shahril. Dia cuba mengelap darah yang keluar dari mulut Salina tetapi tangannya ditepis kasar oleh Shahril.
"Jangan sentuh dia! Kenapa dengan kau ni, hah? Aku tak suka kat kaulah. Kenapa kau tolak Salina? Aku tau kau suka kat aku tapi aku suka kat Salina. Sebab tu ke kau tolak dia? Cemburu? Kau ni memang busuk hati. Salina tolak cinta aku sebab dia sayangkan kau. Dia suruh aku terima kau. Dia baik, tapi kenapa kau buat dia macam ni? Seumur hidup aku takkan terima perempuan yang busuk hati macam kau ni! Takkan!" jerit Shahril sambil merenung tajam Mariam. Mariam terpaku mendengarnya. Dia tidak sangka Shahril akan menuduhnya tanpa usul periksa. Apatah lagi, Shahril mencacinya. Itu betul-betul menghancurkan hatinya!

"Mak cik, pak cik, percayalah. Bukan saya yang tolak Salina," rayu Maryam dengan air mata. Pak Cik Razman dan Mak Cik Hayati hanya diam. Muka Pak Cik Razman sudah merah. Mak Cik Hayati pula sudah lama menangis. Masing-masing berdebar menunggu perkhabaran doktor tentang keadaan Salina.
"Tipu! Kalau bukan kau, siapa lagi? Hanya kau saja kat situ. Takde orang lain lagi. Salina takkan mungkin jatuh sendiri," tuduh Shahril lagi. Wajahnya yang kacak itu merah menahan marah.
"Kenapa tak mungkin? Mungkin Salina tergelincir. Siapa tahu? Awak tak boleh tuduh saya sesuka hati!" balas Maryam. Dia sudah tidak tahan dengan kata-kata Shahril.
"Kau…!"Shahril menggigit bibir. Cuba mengawal rasa marahnya yang meluap-luap.
"Sudah, ini hospital. Tidak baik bertekak. Mengganggu orang lain. Maryam, kamu balik dulu. Rasanya kehadiran kamu di sini hanya memburukkan lagi keadaan," kata-kata Pak Cik Razman menusuk hatinya. Pak cik percaya kata-kata Shahril, sama sewaktu pak cik percaya fitnah yang dilemparkan terhadap ibunya. Maryam berjalan perlahan-lahan, cuba mengawal air mata yang tumpah.

Air mata yang tumpah dilap Maryam sehingga kering. Namun air mata yang baru kembali membasahahi pipinya. Maryam mengesat lagi. Dia memotong daging ayam dengan cermat. Dia harus memasak untuk maknya. Dia tidak patut membiarkan mak mengesyaki kesedihan yang melandanya. Sejak semalam, Salina langsung tidak sedar. Dia tahu, pasti Pak Cik Razman, Mak Cik Suraya dan Shahril sedang menyalahkannya sekarang. Tapi sumpah, bukan dia yang menolak Salina.
Tiba-tiba pisau yang dipegang menghiris tangannya. Maryam terpaku melihat lukanya yang agak dalam. Inilah padahnya akibat cuai. Maryam mencari ubat, untuk disapu pada lukanya. Bila tangannya ingin mencapai botol ubat, Maryam menarik balik tangannya. Fikirannya bercelaru. Dia kembali ke dapur. Mengambil pisau dengan tangannya.
Air matanya menitis apabila dia menghiris tangannya lebih dalam. Darah membuak keluar, menitik ke lantai. Maryam hanya memerhatikan lukanya lalu bergerak ke dalam bilik. Darah dari tangannya menuruti langkahnya. Entah mengapa, dia langsung tidak merasa sakit. Sama sewaktu dia langsung tidak bersuara ketika menangis. Maryam mencapai diari dan gambar ibunya lalu berbaring di atas katil. Dipeluknya erat diari dan gambar itu. Buat apa dia hidup lagi hidupnya sebegini? Dia lelah, Dia dah penat dan dia sudah tidak sanggup lagi hidup begini, hidup dalam kepura-puraan dan dendam. Dia dah tak sanggup lagi! Air mata Maryam menitik kembali. 'Ibu, tunggu Maryam….' Maryam menutup mata perlahan-lahan. Tangannya terkulai tidak berdaya..

Maryam berjalan di lorong yang gelap-gelita. Tiada sebarang hidupan atau suara sekalipun. Maryam panik. Dia mencari-cari arah untuk keluar dari kegelapan dan kesunyian ini. Mariam berlari dan terus berlari sehingga akhirnya dia lelah sendiri. Mariam terduduk. Hampir berputus asa untuk mencari. Kemudian, Mariam terdengar satu suara. Dia mendongak. Di hadapannya berdiri seorang wanita.
"Ibu," kata Maryam. Dia tersenyum. Ibu juga tersenyum padanya lalu tangan ibu terangkat, mahu menyentuh pipinya. Namun belum sempat pipinya disentuh, ibu mula menjauh. Maryam mahu mengejar tetapi ibu semakin jauh dan akhirnya hilang. Maryam keseorangan lagi dalam kegelapan. Dia menangis kepiluan.
Tiba-tiba Mariam terdengar sesuatu. Suara itu tidak jelas. Mariam tercari-cari arah datangnya suara itu. Semakin lama, semakin jelas suara itu. akhirnya Maryam mengecam apa suara itu sebenarnya, suara tangisan. Mariam terpaku, teringat apa yang membawa dia kedaerah asing ini. Membunuh diri. Betapa besarnya dosa itu! Mariam menggigil bila memikirkan azab yang akan ditanggungnya. Apatah lagi dengan sikap kepura=puraannya sebelum ini. Dalam ketakutan itu, ada cahaya yang menerangi jalannya. Mariam terpana. Suara tangisan ini datang dari hujung jalan itu. Mariam mengikuti jalan itu. Semakin dekat dan semakin dekat dengan suara itu..

"Mariam, syukur kamu dah sedar. Mak risau betul. Kenapa kamu buat macam ni? Kamu tak sayang mak ke?" suara itu yang pertama Mariam dengar selepas membuka mata. Majah mak terlayar di ruang mata. Dia lihat wajah itu sembap, mungkin baru lepas menangis.
"Ma, maafkan Mariam," ucap Mariam dengan suaranya yang lemah. Mak menganggukkan kepalanya lalu memeluk Mariam dalam tangisan.
"Mak ingat, mak takkan boleh dengar suara kamu lagi. Mak tak sanggup hilang kamu. Mak dah hilang Aishah, mak tak boleh hilang kamu lagi,"mak menangis lgi. Mariam juga sudah menitiskan air mata. Dia lupa yang masih ada lagi insan di dunia ini yang sayangkannya. Dia betul-betul lupa dan sekarang dia menyesal kerana menyebabkan orang yang menyayanginya sedih.
"Sayang..,"suara garau menghentikan air mata Mariam. Dia kenal suara itu! Segera Mariam berpaling.
"Apa pak cik buat kat sini? Macam mana keadaan Salina?" tanya Mariam apabila melihat Pak Cik Razman di pintu. Keadaan senyap seketika. Mak tiba-tiba bangun.
"Diari itu ada dalam laci, Maryam," kata mak lalu keluar dari bilik. Mariam kehairanan apabila Pak Cik Razman datang menghampirinya.
"Bukan pak cik, panggil papa," kata-kata itu mengejutkan Mariam. Dia terpaku.
"Apa yang pak cik merepek ni? Pak cik bukan papa Mariam. Papa Mariam dah meninggal," balas Mariam. Dia meniru dialog maknya yang menyatakan papanya sudah tiada. Pak Cik Razman menggeleng.
"Maafkan papa sebab tak percayakan Mariam. Salina dah ceritakan semuanya. Dia jatuh sendiri, bukan Mariam yang tolak. Dia juga beritahu satu rahsia besar yang dia tahu sewaktu dia melawat rumah Mariam. Dia dah baca diari tu. Dia dah tau semuanya. Kenapa Mariam tak beritahu, Mariam anak papa?" tanya Pak cik Razman lalu duduk di sebelahnya. Wajah Mariam berubah semakin pucat.
"Mariam tak faham apa yang pak cik cakap. Mariam tak nak dengar lagi!" Mariam hampir menjerit. Dia mahu melupakan semuanya. Dia mahu melupakan apa yang dia tahu melalui diari itu. Dengan ini, dapatlah dia melupakan dendam yang menghantuinya selama ini.
"Mariam, papa dah tahu semuanya. Jangan berdalih lagi. Mak long kamu dah ceritakan semuanya. Papa mintak maaf, papa tak tahu kewujudan Mariam. Papa bersalah pada ibu kamu dan kamu. Papa tak patut percayakan fitnah tu. ini semua salah papa. Kalau papa tak tinggalkan ibu kamu, pasti dia masih hidup sekarang. Ini semua salah papa," kata Pak Cik Razman. Wajahnya sugul dan tidak bermaya. Mariam diam. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia menarik nafas panjang lalu mencapai diari lama di dalam laci. Dia menghulurkan diari itu kepada Pak Cik Razman.
"Ini diari ibu sebelum ibu meninggal. Bacalah," kata Maryam lemah. Pak Cik Razman merenung diari itu sejenak lalu menyambutnya dari tangan Maryam. Jarinya menyelak halaman diari itu. Wajahnya pucat dan tanggannya menggigil. Selepas beberapa lama, Maryam melihat mata Pak Cik Razman berair. Dan akhirnya Pak Cik Razman menyelak ke halaman terakhir. Air mata Pak Cik Razman menitik.
"Sehari sebelum ibu meninggal, ibu menulis itu. Ibu dan redha dengan semuanya. Ibu dah lupakan kesalahan pak cik dan ibu hanya mahu pak cik redha dengannya. Ibu masih sayangkan pak cik," kata Maryam sambil menunduk. Dia teringat tulisan terakhir ibu.

Semoga anakku tidak akan mengikuti jejak penderitaan hidupku….

"Maaf, maafkan papa. Papa salah. Jangan benci papa. Papa takut betul bila dapat berita tentang Maryam. Papa tak nak hilang Maryam, lepas papa hilang Salina," ucap Pak Cik Razman dengan sendu. Maryam terpana.
"Apa maksud pak cik? Apa..apa maksud pak cik pak cik dah hilang Salina?"tanya Maryam. Tanggannya mula sejuk.
"Salina..dia dah meninggal. Salina sakit tenat. Dia jatuh akibat penyakitnya itu. Pak tahu, Salina sakit. Sebab itu pak cik bawa dia balik ke sini. Dia meninggal tadi, selepas cerita tentang diari itu," terang Pak Cik Razman sugul. Maryam menangis tersedu-sedu. Dia sudah kehilangan Salina. Dia tidak akan dapat melihat senyum Salina lagi, tawa Salina dan dia tidak akan dapat mendengar suara lembut Salina lagi. Tak akan!
"Sayang, tolong maafkan papa. Biarkan papa membalas masa 17 tahun yang papa persiakan dulu. Tolong papa,"rayu Pak Cik Razman. Tiba-tiba Mak Cik Suraya menapak masuk. Dia memeluk Mariam erat. Mariam terpaku.
"Kalaulah kami tahu. Tentu Mariam menderita selama ini. Maafkan kami,"Mak Cik Suraya menangis. Air mata Maryam tumpah juga.
"Mama, papa…."

Angin kencang menganggu lamunannya. Dia kembali memandang kuburan di hadapannya. Air mata menitis jua. Sudah sembilan tahun berlalu sejak Salina meninggal dan sejak sembilan tahun itulah dia tidak pernah putus mengunjungi pusara Salina ini. Dia begitu terhutang budi dengan Salina. Dengan bantuan Salina, dia berjaya juga mencapai bahagia yang diimpikannya. Dia juga sudah berubah. Tidak lagi hipokrit seperti dulu. Dia kini kembali menjadi seorang muslim. Dia mahu menjadi muslim yang soleh, sesoleh wanita yang mempunyai nama yang sama dengannya. Mariam, ibu kepada Nabi Isa. Selain itu, dia kini memiliki papa dan mama. Satu perkara yang dulu, difikirkan tidak mungkin. Papa dan mama sangat menyayanginya, dia sangat bahagia kini. Cuma, kadangkala dia dapat juga melihat satu ruang kosong di mata papa dan mama. Kesunyian yang ditinggalkan Salina.
"Terima kasih, Salina. Terima kasih saya peluang untuk merasa gembira," ucap Maryam lalu menapak berlalu dari kuburan itu. Dalam perjalanan dia terserempak dengan seseorang. Shahril?!

"Dah lama kita tak jumpa, kan?" Shahril memulakan bicara. Maryam sekadar mengangguk. Sejak kematian Salina, Shahril tidak pernah berbicara dengannya. Selepas peperiksaan SPM, mereka membawa haluan masing-masing. Maryam melanjutkan pelajaran di universiti tempatan sahaja manakala Shahril, di luar negara. Lapan tahun bertemu semula, Maryam kekok berhadapan dengan Shahril. Apatah lagi kata-kata terakhir terhadapnya adalah tuduhan bahawa dia yang menolak Salina.
"Macam mana keadaan awak sekarang?" tanya Shahril.
"Baik. Kehidupan saya banyak berubah sejak peristiwa lapan tahun dulu," kata Maryam. Dia memandang sekeliling kafe. Melarikan diri dari memandang wajah Shahril.
"Saya juga,"balas Shahril. Selepas itu, masing-masing diam.
"Saya minta maaf. Dulu saya dah tuduh awak. Maaf," Shahril memecahkan kesunyian. Mariam memandang wajah Shahril. Sudah tiada sakit di hatinya. Dia tidak mahu menjadi pendendam lagi seperti dulu. Malah, perasaannya kepada Shahril sudah mati sejak kematian Salina. Dia sudah tidak menyintai Shahril lagi. Namun, dia dapat melihat masih ada sinar cinta di mata Shahril. Sinar cinta itu sudah lama dilihatnya. Sinar cinta itu bukan untuknya, sinar itu untuk Salina. Dan kini walaupun Salina sudah tiada, sinar itu langsung tidak pernah pudar.
"Setiap insan melakukan kesilapan. Saya juga tidak lepas dari melakukan kesilapan. Yang penting kita harus memperbaiki kesilapan dan tidak mengulanginya lagi," ucap Maryam. Bibirnya mula menguntum senyuman nipis. Shahril terdiam seketika. Dia kemudian membalas senyuman itu.

"Maryam, datang ke sini sekejap," panggil mama. Maryam yang sedang melangkah untuk ke dapur terhenti. Dia berjalan menuju ke arah mama dan papa di ruang tamu. Hatinya tertanya-tanya.
"Ada apa, mama?"tanya Maryam. Dia duduk di hadapan mama.
"Tadi, ada rombongan merisik kamu," jawab papa. Maryam terkejut.
"Mama dan papa jawab apa?" tanya Mariam sedikit cemas. Dia mula tak senang duduk tapi sedaya upaya dia cuba berlagak tenang.
"Kami tak jawab lagi. Kami minta tempoh. Kami nak tanya pendapat kamu," kata mama. Mama menghulurkan satu kotak baldu ke arah Mariam. Mariam menyambutnya. Dia memandang cincin di dalamnya, cantik. Tapi, dia belum bersedia. Hatinya sudah tertutup untuk menerima jejaka dalam hidupnya setelah peristiwa dulu. entah kenapa, dia tidak yakin engan cinta. Dia juga mungkin tidak yakin untuk menerima seseorang dalam hidupnya.
"Siapa?"tanya Mariam perlahan.
"Shahril.."jawab mama. Mariam terkejut. Shahril?! Dia hanya bertemu semula Shahril dua bulan lalu. Dan hanya sekali itu sahaja. Lagipun Shahril masih menyintai Salina, Shahril langsung tidak menyintainya! Apa yang ada dalam fikiran Shahril?
"Kamu setuju atau tidak? Kami tak kisah kalau kamu tolak. Kami cuma mahu kamu bahagia,"ujar mama. Maryam memandang wajah mama dan papa. Walaupun mama mengatakan yang mereka tidak kisah, dia dapat melihat harapan di mata mama dan papa. Mana mungkin mereka boleh menyembunyikan itu. Tapi, dia dan Shahril saling tidak menyintai..
"Kamu setuju atau tidak?" tanya mama sekali lagi. Mariam semakin keliru. Tanpa sedar, dia memberikan jawapan. Telinganya tidak dapat menangkap apa jawapannya, tapi yang pasti dia melihat senyum di wajah mama dan papa. Dia juga melihat cincin itu sudah tersarung di jari manisnya. Mariam menunduk. Dia tidak tahu sama ada keputusannya ini tepat atau tidak. Yang dia tahu, dia mahukan mama dan papa gembira. Dia mahukan mama dan papanya senang walaupun mungkin keputusan ini akan menjeratnya kelak. Walaupun dia mengerti yang cinta Shahril bukan kepadanya dan cintanya sudah mati untuk Shahril, dia rela. Kini, dia hanya mampu berdoa bahawa keputusan ini adalah yang terbaik. Itu harapannya..

No comments: