10.20.2009

CERPEN: KAU BIDADARI SYURGAKU

Sudah berkali-kali jam ditangannya dibelek. Namun bas masih lagi belum kunjung tiba. "Mana pulak lah bas ni. Bila nak cepat susah betul nak dapat tapi kalau tak di tunggu banyak pulak yang lalu!" Masuk kali ini entah berapa kali Dhuha merungut. Orang semakin ramai yang menunggu. Dhuha menjadi semakin gelisah kerana dia lewat sampai ke pejabat. Akhirnya bas yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. "Alamak ramailah pulak. Ah! Aku tak peduli, nak tak nak aku kena naik jugak bas ni. Mati aku nak menjawab dengan bos!" Dhuha nekad. Dengan pantas dia menerobos kasar di dalam lautan manusia yang sedang tolak menolak antara satu sama lain untuk sampai ke pejabat. Dengan kudrat yang ada, Dhuha gagahkan diri dan akhirnya dapat jugak dia memasuki perut bas yang padat itu.

Sebaik sahaja kakinya melangkah turun di hadapan pejabatnya, dia pantas berlari menuju ke lif. Butang 18 ditekan sambil berdoa agar Encik Salehin belum lagi masuk ke pejabat. Perlahan-lahan dia mengatur langkah masuk ke pejabat, bagaikan pencuri sahaja lagaknya dan sebaik sahaja dia meletakkan beg tangannya….
"Awal sampai hari ni Dhuha?" Tegur suara yang amat dikenalinya itu. Mati aku! Rungutnya didalam hati. Pantas dia berpaling mengadapnya. "Errr…maaf Encik Salehin. Bas lambat hari ini."
"Ada je alasan awak! Bas lambat ke atau awak yang lambat bangun! Lain kali jangan datang lewat lagi, cuba beri contoh yang baik pada pekerja disini. Kalau mereka boleh datang awal kenapa awak tak boleh. Dah, buat kerja tu, jangan lupa hantarkan fail Syarikat Kurnia Suria tu pada saya ye." Kata Encik Salehin lalu terus melangkah pergi meninggalkan Dhuha yang masih lagi terkulat-kulat dimarahi.
Dhuha meneruskan kerjanya setelah ditegur oleh Encik Salehin sebentar tadi. Pejam celik pejam celik sudah hampir 3 tahun dia bekerja di syarikat ini. Encik Salehin memang baik meskipun kadang kala panas juga telinga Dhuha mendengar bebelannya. Dhua tahu, teguran Encik Salehin itu sebenarnya ikhlas supaya para pekerjanya berdisplin dan rajin bekerja. Jika difikirkan semula, dia tidak pernah bermimpi untuk mencari rezeki disini. Di Kuala Lumpur yang serba membangun ini.

"Mak, Dhuha nak pergi dari sini." Bicara Dhuha membuatkan Salbiah berhenti dari meraut daun nipah yang ditebangnya pagi tadi. "Dhuha nak ke mana nak?" Tanya Salbiah sambil mengenggam erat tangan Dhuha.
"Dhuha tak tahan tinggal di sini lagi mak. Hari-hari yang Dhuha lalui bagaikan duri menusuk hati mak! Pandangan orang kampung terlalu jijik memandang Dhuha! Dhuha rasa dah tak sanggup untuk hidup lagi mak! Dhuha dah tak ada apa-apa lagi mak!" Jerit Dhuha lalu memeluk Salbiah dengan erat sekali sambil menangis teresak-esak. Akhirnya gugur juga air mata tuanya biarpun sedari tadi dia cuba untuk menjadi seorang ibu yang kuat pada Dhuha. Ternyata dia begitu lemah untuk menjadi kuat lalu dia pun menitiskan air matanya yang tertahan di tubir mata. "Sudahlah Dhuha jangan menangis lagi. Mengucap nak, ingat Allah itu Maha Adil dan Allah tak suka umatnya berputus asa dan membunuh diri itu bukan jalan penyelesaiannya Dhuha. Itu paling di laknat oleh Allah nak. Sabarlah ye sayang, mak akan cuba berbincang tentang perkara ini dengan abang Daud kau. Mak akan sentiasa berdoa dan mohon pada Allah supaya Dia tunjukkan jalan pada Dhuha. Mak sayang Dhuha sangat-sangat! Mak tak nak Dhuha jadi begini ye. Mak Cuma ada Dhuha dan Daud dan mak mahu anak-anak mak bahagia."

Retentan dari peristiwa itu telah membawa dia ke sini. Mana mungkin dia mampu menetap lagi di kampung halaman tumpah darahnya setelah apa yang berlaku. Kerana peristiwa itu, ibunya nekad berpindah ke tempat lain. Dia tidak mahu Dhuha tertekan dan biarlah dia mengorbankan segalanya termasuk meninggalkan rumah puasaka arwah suaminya.Biarlah dia mengalah demi kebahagian Dhuha. Lalu dia bersetuju tinggal bersama abang Daud dan keluarga yang di binanya.

Ashraf menyandarkan tubuhnya ke atas katil. Perlahan-lahan mengeluh, bagaikan melepaskan satu beban yang maha berat. Matanya liar memandang siling yang putih tanpa corak itu. Tangannya perlahan mengurut dada. Setiap pandangannya hanya terpandangkan wajah seorang wanita yang amat dicintainya. Berkali-kali bertanya pada diri. "Apa salah aku? Kenapa begitu mudah kau menolak cintaku. Adakah aku tidak layak untukmu sayangku." Ketukan pintu yang bertalu-talu mematikan lamunannya sebentar tadi. Dia bingkas bangun lalu melangkah menuju ke muka pintu.
"Ibu panggil makan Ashraf!" Kata Kak Ratna, pembantu rumahnya. "Baiklah Kak. Kejap lagi saya turun ye. Nak kemas barang sikit."
"Semua orang sedang menunggu Ashraf untuk makan bersama." Dia dapat mendengar leteran Mariam yang berada di ruang tamu dibawah.
"Kalau tak panggil memang Ashraf tak nak turun kan! Ashraf cuba belajar jadi matang sikit, kau tu dah besar, dah boleh jadik bapak budak dah tapi perangai masih lagi macam ni. Umi suruh kahwin dengan Aisyah dulu tak nak. Memilih sangat. Bila umi tanya calon, kau kata tak ada. Perempuan macam mana lagi yang kau nak ni nak oi!" Bebel Mariam.
"Awak ni Yam, sudah-sudahlah tu. Asyik nak cerita perkara yang sama je. Muak lah saya dengar. Ashraf tu dah besar, taulah perempuan macam mana yang dia nak pilih nanti. Kita sebagai ibu bapa mendoakan kebahagian mereka dan merestui perkahwinan mereka supaya bahagia ke akhir hayat." Kata Ibrahim sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. "Saya bukan apa bang. Usia macam kita ni dah patut timang cucu tau. Kalau anak kita ramai tak adalah saya membebel macam ni. Tapi anak kita ni je sorang. Nak tak nak saya terpaksa bang." Mariam mengeluh.
"Umi dah la tu. Ashraf lapar ni. Insya’Allah kalau jodoh tak ke mana umi. Ashraf yakin suatu hari nanti Ashraf akan bertemu dengan seorang bidadari syurga." Pujuk Ashraf cuba menenangkan ibunya. "Abang, tengoklah anak awak ni!" Ibrahim dan Ashraf ketawa serentak dan akhirnya Mariam juga turut ketawa bersama-sama mereka.

Selepas peristiwa itu, Ashraf bagaikan tidak kena. Separuh daripada jiwanya telah mati dan cintanya hancur di tengah jalan. Bagaimana dia boleh melupakan cinta pertamanya begitu sahaja. Satu-satunya wanita yang amat dicintainya hanyalah dia. Pujaan hatinya, baginya tiada wanita yang mampu menandingi cinta Dhuha dihatinya. Sehingga kini dia masih lagi tercari-cari punca yang meretakkan hubungan mereka. Hanya ikatan persahabatan yang mengiringi hubungan mereka berdua, ternyata dia tidak mampu berpegang pada janji itu. Dia tewas! Tewas pada cinta gadis yang bernama Dhuha itu.
"Tapi kenapa Dhuha! Kenapa tak beri peluang pada saya!" Tanya Ashraf separuh menjerit. Dhuha hanya menundukkan kepala. Tidak mampu untuk menentang sepasang mata milik lelaki itu.
"Kenapa awak munkir janji! Mana janji kita dulu. Sudah Dhuha katakan, kita hanya bersahabat! Sahabat Ashraf! Sahabat!" Kali ini Dhuha sudah berani memandang Ashraf. "Maafkan saya Dhuha. Saya tak mampu nak selindung perasaan kasih dan cinta saya pada awak. Saya tak sanggup lagi. Awak tahu tak, setiap hari kita bertemu, cinta saya terhadap awak semakin mendalam. Saya sayang awak lebih dari segala-galanya. Ya, awak memang sahabat terbaik saya dan dalam masa yang sama awak juga adalah kehidupan saya Dhuha. Terimalah cinta saya dan berilah saya peluang Dhuha." Sayu suara Ashraf membuatkan hati Dhuha bertambah sakit. Dia tahu lambat laun pasti ini akan terjadi dan kalaulah dia tahu pasti persahabatan dari lelaki yang bernama Ashraf ini tidak akan dia terima. Tetapi apakan daya, dia tewas dengan desakan Ashraf yang beria-ia mahu bersahabat dengannya. Biarpun dia cuba untuk melarikan diri, Ashraf tetap mengejarnya. Kini, apa yang ditakutinya telah berlaku. Mana mungkin dia menerima Ashraf sedangkan dirinya.....
Saya tak layak untuk awak sebab awak terlalu sempurna sedangkan saya banyak cacat celanya."
"Apa yang awak cakap ni! Mana cacat celanya awak Dhuha. Siapa awak nak kata saya sempurna dan awak tidak!"
"Cacat cela bukan apa yang dilihat oleh mata awak Ashraf! Tolonglah, selepas ini awak dengan saya tiada apa-apa hubungan lagi."

Sejak dari peristiwa itu, wajah Dhuha tidak lagi dia temui. Puas dia cuba menjejaki Dhuha, namun hampa. Selepas apa yang berlaku, Ashraf merajuk hati lalu membawa diri ke Australia untuk melanjutkan pelajaran dan sekaligus ingin menghapuskan cinta Dhuha di dalam hatinya. Kini sudah 3 tahun berlalu, wajah Dhuha tidak mampu dia buang jauh dari sudut matanya. Malah setiap hari dia akan menjelmakan wajah itu diruang jiwanya agar dia tidak lupa bahawa cintanya hanya untuk Dhuha. Bukan dia tidak pernah cuba untuk menerima wanita lain di dalam hatinya, tetapi ternyata cintanya terhadap Dhuha terlalu utuh dan dia sering berdoa agar dia bertemu semula dengan Dhuha dan semoga akan terbuka pintu hatinya untuk menerima dirinya di dalam hidupnya. Akan adakah hari itu Dhuha?

Hari ini hari Sabtu. Dhuha dan Asmah bercadang ingin membeli belah di Mid Valley. Kata Asmah dia ingin wayang terlebih dahulu sebelum membeli barang kerana terlalu sibuk dengan kerja. Selama dua jam mereka menghabiskan masa di dalam panggung wayang. Sebaik sahaja habis menononton wayang, terus sahaja Asmah mengajak Dhuha untuk makan tengah hari.
"Seronok betulkan Dhuha dapat tengok wayang tadi. Kelakar betullah cerita Kungfu Panda tadi. Nak terburai isi perut aku asyik tergelak sahaja." Kata Asmah.
"A’ah la As. Aku pun tak tahan nak tergelak jek. Best juga kan, bila dapat layan cerita kelakar macam ni. Hilang stress sekejap. Ha, lepas ni kita nak ke mana pulak?" Tanya Dhuha sambil menyuapkan nasi ke mulutnya.
"Aku ingat nak beli barang dapur sikit. Lepas tu nak beli baju, barang make up aku pun banyak dah habis." Dhuha hanya mengaggukan kepala tanda setuju dan mereka segera menghabiskan makanan tengah hari mereka.
Ketika Dhuha sedang sibuk membelek-belek pakaian, tiba-tiba terasa bahunya disentuh. Pantas dia menoleh ke belakang dan alagkah terkejutnya dia tatkala memandang wajah itu. Wajah lelaki yang dia tidak mahu temui sampai bila-bila. Kenapa ini terjadi, di saat ini? Di saat dia mula merasakan kebahagian dalam hidupnya.
"Dhuha? Abang ingatkan salah orang tadi. Dhuha...Dhuha apa khabar?" Tanya Muaz sambil tersenyum. Senyuman itu menyakitkan hati Dhuha dan senyuman yang sama yang telah meragut kehidupan Dhuha.
"Apa abang buat dekat sini? Apa abang nak lagi dari Dhuha? Tak cukupkah apa yang abang dah lakukan pada Dhuha!" Dhuha bersuara tegas dan dalam masa yang sama dia merasa takut dan bimbang.
"Dhuha, jangan macam ni. Abang tahu abang yang bersalah! Abang telah pun menerima hukumannya Dhuha. Abang nak minta maaf dengan Dhuha dan abang ikhlas Dhuha."
"Senangnya abang cakapkan! Setelah apa yang berlaku, hanya maaf yang mampu abang ucapkan!"
"Dhuha kenapa ni? Siapa lelaki ni?" Tanya Asmah sambil memandang Muaz dan pandangannya beralih pula pada Dhuha bagaikan mengharapkan penjelasan tentang apa yang telah terjadi. Dhuha terus mencapai tangan Asmah dan melangkah beberapa tapak jauh dari Muaz. "Tak ada apalah As. Kawan aku dari sekolah. Aku nak berborak dengan dia sekejap boleh tak? Kau tengok-tengoklah barang lain dulu. Sekejap je, boleh tak As?" Tanya Dhuha. "Ok lah, jangan lambat sangat tau. Aku nak tengok baju kat bahagian tu, nanti dah selesai, kau cari aku kat sana ye."
"Terima kasih As." Kata Dhuha sambil berlalu pergi.
Dhuha dan Muaz hanya diam membisu sejak mereka tiba di food court. Dhuha hanya memerhatikan gelagat manusia yang pelbagai ragam.
"Jijik sangat ke abang ni, sampai Dhuha tak nak pandang muka abang lagi." Muaz bernada sayu dan perlahan-lahan Dhuha memandang wajah Muaz.
"Entahlah bang. Bohonglah kalau Dhuha kata yang Dhuha dah lupakan perkara dulu. Memang Dhuha jijik tengok muka abang dan setiap hari Dhuha berdoa agar tidak akan melihat muka abang lagi. Tapi takdir tuhan siapa yang mampu menghalang dan akhirnya hari ini dan di sini kita berjumpa jugak." Muaz hanya mendiamkan diri sambil mengeluh dan bila-bila masa sahaja air matanya boleh jatuh. Kenangan lalu kini bermain di layar ingatannya.

Perkenalan dengan Muaz hanyalah sebagai kawan dan mereka tinggal sekampung dan juga merupakan sahabat kepada abangnya Daud. Muaz bagaikan abang pada Dhuha dan Dhuha amat menyenangi keperibadian Muaz. Baginya, Muaz adalah seorang lelaki yang baik dan selalu membantunya disaat dia memerlukan pertolongan. Sehinggalah, tanpa disangka-sangka Muaz meluahkan perasaan cintanya pada Dhuha. Dhuha buntu dan keliru dengan situasi itu, dengan fikiran waras dia menolak cinta Muaz dengan cara baik. Dia masih muda dan masih mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap kehidupan keluarganya dan buat masa ini, tiada rasa cinta yang tumbuh di hatinya pada saat ini. Tidak untuk Muaz atau untuk mana-mana lelaki pun. Mujurlah Muaz mengerti dan meminta Dhuha melupakan kejadian yang berlaku dan anggaplah semua ini tidak pernah terjadi. Dhuha tersenyum lega.
"Apalah kau ni Muaz. Si Dhuha pun kau tak dapat nak tackle. Kau tau tak, ramai yang tergila-gilakan dia. Kalau nak ikutkan dialah satu-satunya perempuan yang paling cantik kat kampung kita ni tau!" Halim ketawa terbahak-bahak mendengar cerita Muaz.
"Kau jangan nak sakitkan hati aku Lim! Hati aku ni dah terluka, kau tambah lagi sakit hati aku. Kau nak kena debik dengan aku ke!" Kata Muaz sambil mengepal penumbuknya.
"Habis tu kau nak buat apa sekarang ni Muaz. Cinta kau dah kena tolak. Sia-sia je kau berbaik-baik dengan Daud untuk rapat dengan si Dhuha tu. Last-last kau juga yang merana."
"Tak guna! Korang tengoklah nanti. Tak ada lelaki mana pun yang layak untuk Dhuha! Hanya aku yang layak untuk dia!" Muaz sudah mula hilang sabar dengan telatah rakan-rakannya yang bagaikan menyimbah api yang sedang marak agar terus marak lagi.
"Eh Muaz, kau jangan cakap je lebih. Apa yang kau boleh buat? Setakat cakap, aku pun boleh Muaz. Buktikan kata-kata kau tu pada kitorang nih. Barulah jantan namanya, kan Halim." Ketawa Judin.
"Oh, korang berdua perli aku ye. Baik! Aku akan buktikan kata-kata aku ni! Korang tengoklah nanti!"

Dhuha berjalan perlahan menuju ke bilik emaknya. "Dhuha macam mana? Masih demam lagi?" Tanya Salbiah sambil mengusap rambutnya. "Tak laratlah mak. Demam lagi ni. Dhuha tak larat nak jalan pun mak. Lemah sangat, asyik nak baring je." Kata Dhuha dengan nada lemah. "Kalau macam tu, mak temankan Dhuha ye. Biar abang je yang pergi rumah mak long."
"Eh mak, tak apalah. Mak pergilah dengan abang. Kesian mak long, dia beria sangat nak mak datang majlis kesyukuran Amy tu. Mak jangan risau, Dhuha tak apa-apa tinggal seorang. Lagipun mak dengan abang pergi sekejap je kan. Jangan lupa kirim salam pada mak long sekeluarga."
"Betul ni, Dhuha tak apa-apa?" Dhuha menganggukkan kepala. "Kalau macam tu mak pergi dengan abang je lah. Dhuha duduk rumah elok-elok ye. Kunci pintu tu. Mak pergi dulu."
Tok! Tok! Tok! Pintu diketuk bertalu-talu. Dengan lemah, Dhuha berjalan perlahan-lahan menuju ke pintu. "Eh, abang buat apa kat sini?" Tanya Dhuha apabila dilihatnya Muaz berdiri dihadapan pintu.
"Abang Daud mana?" Tanya Muaz. "Abang Daud temankan emak ke rumah mak long. Ada kenduri kesyukuran." "Kenapa Dhuha tak ikut sekali?" Tanya Muaz lagi. "Dhuha tak sihatlah abang, demam....."
Belum sempat Dhuha menghabiskan kata-katanya, terasa dirinya melayang jatuh. Muaz segera menutup pintu lalu mengheret Dhuha ke dalam biliknya.
"Abang! Apa abang ni! Lepaskan Dhuha bang! Lepaskan!"
"Diam Dhuha! Aku kata diam, diam!" Muaz bagaikan dirasuk syaitan. Jeritan Dhuha langsung tidak diendahkannya, malah dengan kasar dia merobek pakaian Dhuha.
"Setan kau Muaz! Lepaskan aku! Kau sedar tak apa yang kau buat ni! Ingat Allah Muaz! Kau memang tak guna! Sampai hati kau buat aku macam ni!" Dhuha menjerit-jerit meminta dilepaskan. "Ah! Kau jangan nak mengajar aku lah. Kau hanya untuk aku Dhuha. Kalau aku tak dapat, jangan harap orang lain dapat. Kau faham! Biar aku yang ‘rasmikan’ kau dulu Dhuha sayang!"
Muaz hanya tersenyum memandang Dhuha yang sudah tidak berdaya lagi. Habis pakaian Dhuha telah dirobeknya. Dhuha hanya mampu menangis dan menangis. Dia memang sudah tidak mampu untuk melawan lagi. Habis sudah segala tenaganya apatah lagi dia sememangnya tidak berdaya dan terlalu lemah untuk mempertahankan maruahnya. Air mata jatuh bercucuran. Dia memejamkan mata rapat-rapat! Tidak sanggup lagi untuk menatap wajah lelaki yang telah pun meragut kesuciannya itu. Dia ditinggalkan tanpa belas kasihan dan Muaz terus sahaja melarikan diri sebaik sahaja nafsu serakahnya telah dipuaskan. Rasa bagaikan nyawanya seperti nyawa-nyawa ikan. Dalam keadaan yang lemah longlai Dhuha mencapai pakaiannya di dalam almari, tetapi apalah dayanya, dengan keadaan yang tidak sihat dia rebah di hujung katil sebaik sahaja baju disarungkan ke tubuhnya.

"Ya Allah! Dhuha! Kenapa ni nak! Dhuha bangun nak! Daud!" Wajah Salbiah sudah kelihatan pucat sebaik sahaja apabila sampai sahaja di rumah apabila dilihatnya pintu hadapan terbuka luas. Sebaik sahaja melihat keadaan rumahnya, Salbiah bergegas ke bilik Dhuha dan betapa hancur dan luluh hatinya apabila melihat keadaan Dhuha begitu. Daud bergegas ke mendapatkan ibunya. "Ada apa mak? Ya Allah Dhuha! Kenapa ni mak? Dhuha?" Air mata Daud bergenang tatkala melihat adik kesayangannya jadi begini. Dhuha membuka matanya perlahan-lahan. "Mak....abang..." Perlahan suara Dhuha kedengaran tetapi cukup meruntun perasaan Salbiah dan Daud. Dhuha memeluk emaknya erat. "Mak! Apa salah Dhuha mak! Kenapa dia buat Dhuha macam ni." Dhuha menangis teresak-esak. "Siapa Dhuha? Siapa buat Dhuha macam ni? Cakap dengan abang, siapa yang buat Dhuha macam ni?" Tanya Daud dalam nada marah yang ditahannya.
" Mu...Muaz bang! Dia yang buat Dhuha jadi macam ni!" Daud merasakan dunianya gelap apabila mendengar nama itu. Dia terduduk ke lantai dan seketika kemudian bangun lalu terus keluar dari bilik Dhuha. "Daud, walau apapun yang Daud nak buat nanti, ingatlah Allah nak! Mak Cuma ada Daud dengan Dhuha sahaja. Ingat ye nak." Pesan Salbiah dan setiap kata-kata emaknya bagaikan azimat dan dengan didikan agama yang telah diberikan ibu dan ayahnya, dia akan bertindak mengikut batas agama.
Puas Daud mencari Muaz, dirumahnya pun dia tiada. Daud terus mencari Muaz dan akhirnya langkah kakinya membawa Daud ke rumah Halim. "Mana Muaz?" Tanya Daud sebaik sahaja Halim membukakan pintu rumahnya. "Mana aku tau Daud. Kenapa dengan Muaz? Kenapa ni Daud? Kau ni kenapa?" Tanya Halim bertalu-talu. "Dia rogol adik aku Lim. Dia dah rosakkan Dhuha! Mana lelaki tak guna tu. Aku ada salah apa pada dia Lim, sampai Dhuha yang jadi mangsa!" Daud masih lagi dapat menahan perasan amarahnya. "Ya Allah! Betul ke ni Daud! Macam mana boleh jadi macam ni. Kenapa dengan kau ni Muaz! Ya Allah apa yang dah kau buat ni Muaz!" Halim betul-betul tidak menyangka perkara sebegini akan berlaku. Sangkanya Muaz hanya bergurau mengenai perkara ini apabila mereka bertemu petang tadi. Halim fikir Muaz hanya cakap-cakap kosong dan tidak bermaksud dengan apa yang diperkatakannya. Ternyata jangkaannya meleset. Tetapi kini semua telah terjadi dan dia tidak mampu berbuat apa-apa.
"Tolong aku Lim. Tolong aku cari Muaz. Kalau kau tak nak tolong tak apalah, tapi kalau kau tahu dia dekat mana, beritahu aku." Belum sempat Daud melangkah pergi Halim bersuara. "Daud, aku tahu kat mana Muaz. Selalunya kalau dia ada masalah, dia akan ke rumah Judin. Jomlah kita pergi."
Betul sangkaan Halim. Muaz berada di rumah Judin dan sebaik sahaja Judin membukakan pintu, Daud terus menerjah masuk ke dalam rumah Judin.
"Tak guna kau Muaz! Kau dah rosakkan adik aku! Kau memang kawan tak guna! Sia-sia aku anggap kau sebagai kawan baik aku selama ini. Kau memang setan Muaz!" Satu penumbuk singgah di pipi Muaz. Satu lagi penumbuk singgah di perutnya bertubi-tubi.
"Sudahlah tu Daud! Nanti mati pulak budak Muaz tu. Mengucap Daud! Mengucap!" Kata Halim memaut pinggang Daud dengan erat manakala Judin pula cuba melindungi Muaz daripada dibelasah oleh Daud. Muaz kelihatannya sudah tidak berdaya lagi, dan dia sendiri tidak mampu untuk menahan serangan dari Daud biarpun Judin cuba untuk melindungi dirinya. "Halim, kau telefon polis sekarang jugak! Telefon polis!" Daud mengarahkan Halim supaya menghubungi pihak polis. Dia sudah tidak sanggup lagi berhadapan dengan situasi seperti ini. "Tergamak kau Muaz. Aku sayang adik aku! Terlalu sayangkan adik aku! Tapi dalam sekelip mata kau musnahkan hidup dia!" Daud hanya mampu memandang wajah Muaz yang telah sangat lemah dan tidak bermaya, terbaring sambil menahan kesakitan.
"Daud, aku....aku....aku minta maaf. Aku tak sedar apa yang telah aku lakukan Daud. Aku berdosa pada Dhuha, pada kau dan emak kau. Maafkan aku Daud! Maafkan aku!" Pinta Muaz. Ada air mata yang mengalir membasahi pipinya.
"Dah terlambat! Semuanya dah terlambat Muaz. Kalau kau boleh putarkan masa dan memastikan kejadian ini tidak pernah berlaku, pasti aku akan memaafkan kau dengan sepenuh hati aku. Tetapi...adik aku dah rosak. Kau tau tak, aku jaga maruah adik dengan sebaik mungkin supaya kelak aku dapat serahkan dia pada seorang lelaki yang akan menjaga dan menyintai dirinya dengan sepenuh hati dan dalam keadaan yang suci. Dalam keadaan yang suci Muaz! Tapi satu-satunya harga diri yang dia ada telah kau ragut hanya dalam sekelip mata sahaja. Kalau ikutkan hati aku, dah lama aku bunuh kau Muaz. Tapi, aku masih ada emak dan adik yang perlu aku jaga dan bersyukur iman aku masih ada dan masih dapat membezakan antara dosa dan pahala." Muaz hanya mendiamkan diri kerana dia tahu di saat ini tiada kata-kata yang mampu menenangkan emosi Daud. Muaz tahu dia yang bersalah dan redha dengan segalanya. Memang benar, apa yang telah berlaku tidak mampu diundurkan semula. Sayup-sayup kedengaran siren polis dan Muaz tahu bermula pada malam itu hidupnya akan berubah.

Muaz mengusap wajahnya perlahan-lahan. Kenangan hitam itu telah merubah kehidupannya dan juga kehidupan Dhuha. "Macam mana dengan kehidupan Dhuha sekarang? Maksud abang, Dhuha sekarang sudah berkahwin?" Tanya Muaz dan pertanyaannya membuatkan Dhuha ketawa. "Siapalah yang nak kahwin dengan Dhuha yang dah tercemar ni. Bagi percuma pun orang tak mahu bang."
"Dhuha...."
"Abang nak tahu keadaan Dhuha kan? Abang tau tak, Dhuha hampir-hampir bunuh diri kerana tak tahan dengan tohmahan dan umpatan orang kampung. Mereka tak salahkan abang, tapi mereka salahkan Dhuha. Mereka kata Dhuha ni perempuan murahan dan sanggup buat maksiat ketika emak dan abang tiada dirumah. Padahal mereka tidak tahu siapa yang bersalah. Tapi Dhuha bersyukur sebab emak dan abang sentiasa memberikan sokongan pada Dhuha untuk meneruskan hidup ini. Dhuha bersyukur kerana Dhuha tidak mengandung kerana perbuatan terkutuk abang itu. Kalau tidak mungkin Dhuha akan jadi gila bang! Sebab abang, Dhuha sekeluarga terpaksa berpindah dan meninggalkan rumah pusaka peninggalan arwah ayah di kampung. Dhuha tak tahan setiap hari orang kampung asyik mengata tentang Dhuha. Jadi Dhuha mohon pada abang jangan jumpa Dhuha lagi. Kalau abang ingin memohon kemaafan dari Dhuha, jawapannya Dhuha masih tidak mampu untuk memaafkan abang lagi. Selepas ini, kalau kita berselisih di mana-mana, Dhuha mohon abang berpalinglah, kerana Dhuha tidak sanggup lagi untuk memandang wajah abang. Mungkin suatu hari nanti jika pintu kemaafan ini telah terbuka dalam diri ini dan saat itu biar Dhuha sendiri yang datang berjumpa dengan abang."
"Dhuha...." Dhuha terus bangun meninggalkan Muaz seorang diri tanpa menoleh lagi. "Kerasnya hati kau Dhuha. Tahukah kau betapa terseksanya aku ketika di dalam penjara. Aku disebat hingga berdarah meninggalkan parut dan kesannya sehingga kini aku terasa. Separuh dari sisa kehidupanku aku habiskan didalam penjara yang dihuni pelbagai banduan dengan pelbagai kesalahan dan aku saban hari menghitung hari untuk keluar dari penjara besi itu. Bukan untuk memulakan kehidupan baru, tetapi demi untuk sebuah kemaafan darimu. Biarlah andai itu yang kau mahu. Akan aku ingat peristiwa ini sampai bila-bila dan luka ini akan sentiasa mengingatkan aku pada dosa yang telah aku lakukan pada diri kau Dhuha. Maafkan aku Dhuha. Pastinya aku akan tunggu keajaiban itu bila kau ikhlas memaafkan diriku. Aku doakan semoga kau berbahagia sehingga ke akhir hayat dan aku yakin pasti ada lelaki yang akan menerima diri kau seadanya." Kata-kata itu hanya mampu didengari oleh dirinya sendiri. Andai Dhuha dapat mendengar bicaranya, adakah Dhuha akan memaafkan dirinya tanpa memerlukan masa. Muaz pasrah dan terus berlalu pergi.

Hari ini Dhuha lambat lagi. Jam di pergelangan tangan, dijelingnya sekilas. "Matilah aku kali ni! Macam mana boleh lambat ni!" Dhuha mengomel sendirian di dalam lif. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, terus sahaja Dhuha merempuh keluar tanpa mempedulikan orang ramai yang berada di dalam lif tersebut. Kedegaran beberapa orang di dalam lif merengus marah kerana rempuhan Dhuha. "Peduli apa aku!" Kata Dhuha di dalam hati. Mujurlah ketika Dhuha sampai, Encik Salehin berada di dalam biliknya bersama seorang lelaki.
"Kenapa lambat hari ni Dhuha?" Tanya Salmah sambil meletakkan failnya di atas meja dan terus sahaja ke meja Dhuha.
"Bas lambatlah hari ni Kak. Encik Salehin bising ke?" Tanya Dhuha.
"Nasib baik kau Dhuha. Dia tak datang check pun kat tempat kau, sebab datang-datang je dia terus bawa tetamu dia tu masuk bilik."
"Tetamu? Siapa Kak?"
"Kalau tak silap Akak, lelaki tu anak kepada kawan baik dia. Handsome tau Dhuha. Jatuh cinta Akak dengan dia sekejap." Dhuha menggelengkan kepala melihat telatah Kak Salmah. "Habis tu, cik abang Akak nak letak kat mana?" Salmah hanya ketawa mengekek mendengar kata-kata Dhuha. Tanpa membuang masa, Dhuha terus sahaja memulakan pekerjaannya.
"Terima kasih sebab Ashraf sudi datang jenguk pak cik. Dah lama kita tak jumpa kan? Lepas ni terus tinggal di sini atau nak membawa diri ke negara orang lagi?" Tanya Encik Salehin sambil memaut bahu Ashraf.
"Tidak pak cik. Lepas ni saya tak akan ke mana-mana lagi. Kesian umi dengan ayah. Mereka tinggal berdua sahaja. Ayah mahu saya menguruskan syarikatnya dan saya rasa sudah tiba masanya saya memikul tanggungjawab tu pak cik." Kata Ashraf.
"Baguslah tu Ashraf. Kalau ada apa-apa yang kamu tak faham, jangan segan-segan bertanya pada pak cik ye. Insya’Allah pak cik akan tolong mana yang pak cik mampu."
"Saya balik dulu lah pak cik. Dah janji dengan kawan nak jumpa dia kejap lagi."
"Kawan ke kekasih hati." Ashraf hanya tersenyum mendengar usikan Encik Salehin. Selepas bersalaman dengan Encik Salehin, Ashraf segera melangkah pergi. Tetapi langkah kakinya tiba-tiba terhenti sebaik sahaja terpandang wajah Dhuha yang sedang tekun menaip di mejanya. Hatinya berdegup kencang dan nafasnya bagaikan tersekat. Kenapa dia perlu bertemu dengan Dhuha di saat ini? Dia tidak pasti sama ada mahu menegurnya atau pulang sahaja. Entah bagaimana, kakinya terus sahaja melangkah dan berdiri betul-betul dihadapan Dhuha. Dhuha pantas mendongak apabila susuk tubuh itu tercegat dihadapannya.
"Dhuha."
"Ashraf."
Ashraf meminta izin daripada Encik Salehin untuk berjumpa dengan Dhuha di luar kawasan pejabat. Encik Salehin memberi keizinan meskipun di benaknya kini pelbagai persoalan terbit tentang hubungan mereka berdua. Mereka berdua menuju ke sebuah taman yang berdekatan dengan kawasan pejabat.
"Dhuha apa khabar?" Tanya Ashraf memulakan perbualan apabila dari tadi hanya kebisuan yang menemani pertemuan mereka setelah 5 tahun tidak bertemu.
"Dhuha sihat-sihat sahaja. Awak macam mana, sihat?" Pertanyaan yang sama Dhuha ajukan pada Ashraf. Ashraf mengeluh perlahan sambil mengusap rambutnya.
"Macam ni lah Dhuha. Macam yang Dhuha tengok sekarang. Saya sihat sahaja. Dhuha dah berpunya?" Tanya Ashraf inginkan kepastian. Jika Dhuha masih belum berpunya, masihkan akan ada peluang untuk dia merebut cinta Dhuha kembali? Cinta yang tidak berbalas. "Dhuha masih lagi sendiri Ashraf. Soal cinta bukan keutamaan Dhuha. Sekarang Dhuha mahu menumpukan perhatian pada pekerjaan dan keluarga." "Saya masih lagi cintakan Dhuha." Kata-kata itu sudah cukup meruntun jiwa Dhuha. Lelaki ini masih lagi menyimpan perasaan cinta terhadap dirinya. Ternyata anggapannya terhadap Ashraf sebentar tadi meleset.
"Walaupun 3 tahun telah berlalu, namun rasa cinta terhadap Dhuha tak pernah berubah biarpun bertemu dengan wanita lain. Cinta saya hanya untuk Dhuha seorang dan saya hanya akan bahagia jika Dhuha menjadi permaisuri dan penyeri kehidupan saya. Dhuha, berilah saya peluang." Pandangan matanya yang bening menikam sinaran mata Dhuha.
"Saya tidak boleh terima cinta awak Ashraf. Awak tak akan faham!"
"Fahamkan saya Dhuha! Supaya saya faham apa yang membuatkan awak tidak dapat menerima cinta saya! Betul ke dalam hati awak tak ada langsung secebis pun cinta terhadap saya? Cakap Dhuha!" Ashraf bagaikan tidak dapat mengawal perasaannya dan ini membuatkan Dhuha sedikit tersentak dengan perlakuan Ashraf.
"Kenapa dengan awak ni! Baik, kalau awak berkeras nak tahu sangat, Dhuha akan beritahu. Selepas ini pasti awak akan menyesal kerana menyintai seseorang yang awak anggap sebagai bidadari syurga. Awak pasti akan menyesal dan akan menjadikan pertemuan hari ini adalah yang terakhir buat awak dan Dhuha percaya pasti selepas ini awak berharap agar tidak pernah bertemu dengan Dhuha lagi." Ashraf hanya mendiamkan diri da sesekali dia mengerutkan dahi mendengar kata-kata yang terbit dari bibir Dhuha kerana dia cuba mentafsir setiap kata-kata Dhuha agar dia faham.
"Ashraf, Dhuha.....Dhuha tidak suci lagi! Maruah Dhuha sudah tercemar! Ashraf fahamkan sekarang!" Terkejut bukan kepalang Ashraf. Kenapa mesti telinganya mendengar semua ini. Dia lebih rela tidak tahu apa yang berlaku, tetapi sekarang sudah terlambat. Dia yang terlalu mendesak dan akhirnya terbongkar jua tentang Dhuha yang dia begitu ingin tahu. Dhuha ceritakan satu-persatu apa yang telah berlaku agar segala persoalan Ashraf terjawab dan selepas ini pasti mereka tidak akan bertemu lagi.
"Sudahlah Dhuha. Pergilah buat kerja, nanti Encik Salehin marah pulak. saya minta maaf kalau melukakan perasaan Dhuha dan memaksa Dhuha menceritakan segala-galanya. Saya pergi dulu." Segera Ashraf meninggalkan Dhuha yang masih lagi duduk termangu. Dia mengaku tidak dapat menerima kenyataan tentang kejadian yang telah menimpa Dhuha. Menyesal? Entahlah. Dia sendiri tidak pasti adakah dia menyesal kerana menyintai seseorang yang telah tercemar maruahnya. Adakah dia bodoh, masih lagi menyimpan perasaan cintanya terhadap Dhuha selama 3 tahun dan akhirnya jadi begini? Dia buntu dan tidak tahu apa yang harus dia lakukan sekarang.

Sejak pertemuan itu, Ashraf tidak lagi menemui Dhuha. Sudah seminggu kejadian itu berlaku. Dhuha pasti ini akan terjadi dan lelaki mana yang sanggup menerima dia setelah apa yang terjadi. Ashraf hanya mampu meluahkan rasa cintanya terhadap Dhuha tanpa sanggup menerima dia seadannya. Dhuha mengaku dia memang menyintai Ashraf dengan sepenuh hati dan kerana cinta dia sanggup melepaskan Ashraf pergi agar dia dapat mencari seorang wanita yang suci maruahnya. Biarlah dia korbankan cintanya buat lelaki yang bernama Ashraf. Berkali-kali dia katakan pada diri bahawa dia tidak layak untuk Ashraf dan dia bukan yang terbaik untuk menjadi bidadari syurga Ashraf. Dhuha pasrah. Di dalam hatinya, bukan hanya secebis cintanya untuk Ashraf tetapi sebuah cinta yang tulus dan suci.
"Dhuha, masuk dalam kereta." Dhuha terkejut sebaik sahaja kereta Wira berwarna hitam itu berhenti dihadapannya. Dia menjengah ke arah tingkap dan kelihatan Ashraf sedang memandangnya. Tanpa membuang masa Dhuha terus sahaja masuk ke dalam kereta. Hati Dhuha tidak keruan. Entah mahu apa lagi lelaki ini dan mereka berdua hanya mendiamkan diri. Sepanjang perjalanan, Ashraf tidak langsung memandang Dhuha, begitu jug dengan Dhuha sehinggalah mereka berhenti di hadapan taman Titiwangsa.
"Maafkan saya sebab buat Dhuha buat macam ni."
"Maaf? Untuk apa?" Jiwa Dhuha gelisah, hati terasa berdebar tatkala berada disamping Ashraf. Dhuha masih lagi malu kerana membuka kisah hitamnya pada Ashraf. Mungkin kini Ashraf jijik untuk melihatnya. Tetapi kenapa lelaki ini masih ingin menemui dirinya. Apakah masih ada lagi penjelasan yang perlu dia jelaskan pada lelaki di sampingnya ini.

"Maaf sebab tinggalkan Dhuha begitu sahaja. Bukan niat saya, cuma saya terkejut dengan apa yang berlaku dan saya tak tahu nak buat apa Dhuha."
"Bukan salah awak. Awak tak salah apa pun. Awak memang berhak buat macam tu pada saya. Awak...."
"Cukup Dhuha! Saya tak nak dengar lagi. Saya mengaku saya cuba untuk mengikis cinta ini jauh dari hati saya tetapi saya tidak berdaya kerana terlalu menyanyangi awak. Saya tinggalkan awak bukan sebab awak dah tercemar tetapi sebab saya tak sangggup membayangkan keadaan awak ketika itu. Awak tak bersalah Dhuha sebab awak telah teraniaya dan awak begitu lemah ketika itu. Bagaimana lelaki itu sanggup berbuat onar pada awak yang begitu baik. Kalau saya ada di situ pasti saya akan bunuh lelaki itu kerana mencemar maruah orang yang saya sayang dan cinta dengan sepenuh hati. Walau apapun yang terjadi, cinta saya pada awak tidak akan berubah Dhuha."
"Ashraf..."
"Dhuha, saya cintakan awak bukan sebab maruah atau kesucian. Saya cintakan awak sebab awak adalah untuk saya dan Allah telah menetapkan bahawa awak adalah jodoh saya dan saya harus menerimanya dengan seikhlas hati. Awak adalah untuk saya dan saya untuk awak. Kadang kala kesucian tidak dapat memberikan kebahagian dalam hidup kita kerana kesucian itu adalah amanat daripada Allah dan adalah tanggungjawab kita untuk menjaganya. Tetapi jika kesucian itu tidak mampu kita pertahankan bukanlah salah kita andainya kita sendiri tidak berdaya untuk mempertahankan kesucian itu Dhuha. Janganlah awak tolak cinta saya hanya kerana awak tidak suci lagi Dhuha. Manusia tiada yang sempurna Dhuha begitu juga dengan saya. Saya sudah letih dengan kehidupan ini dan saya mahu bersama-sama dengan awak membina kehidupan yang bahagia. Ini untuk awak." Ashraf menghulurkan sebentuk cincin pada Dhuha. Dhuha teragak-agak untuk mengambilnya dan tanpa sedar air matanya yang tertahan tertumpah jua membasahi pipi.
"Macam mana dengan keluarga awak? Mereka pasti tidak dapat menerima keadaan Dhuha begini." Dhuha tunduk memandang rumput.
"Dhuha, jangan difikirkan tentang itu. Ini adalah rahsia kita berdua dan tiada siapa berhak tahu. Cukuplah hanya saya sahaja yang tahu. Sekurang-kurangnya jika rahsia ini terbongkar, Dhuha sudah menjadi milik saya dan saya pasti akan mempertahankan Dhuha.Dhuhalah bidadari syurga buat Ashraf." Ashraf terus sahaja menyarungkan cincin itu dijari Dhuha. Dhuha mengukir senyuman dan memandang wajah Ashraf dengan rasa cinta yang mendalam.

Ya Allah! Adakah aku telah menemui kehidupanku? Akan bahagiakan aku disamping Ashraf yang begitu menyintai diriku. Ya Allah, berikanlah aku kebahagian yang berkekalan hingga ke akhir hayat dan berikanlah aku kekuatan untuk membahagiakan Ashraf.
Ashraf mengenggam erat tangan Dhuha. Dalam hati dia berdoa kerana Allah SWT telah memakbulkan doanya. Dia telah berjanji akan menerima segala kebaikan dan keburukan Dhuha biarpun maruah dirinya telah tiada lagi kerana dia telah berjanji didalam setiap doa-doanya dan Allah sebagai saksi cinta mereka yang suci.

No comments: